Sunday 30 October 2016

BBK 3410 ; BATU SEREMBAN



Assalamualaikum, penulisan kali ini adalah mengenai permainan tradisional di Negeri Sembilan. Memandangkan saya yang berasal dari Negeri Sembilan, jadi saya ingin bercerita mengenai batu seremban. Pada asalnya batu serembat ini dikenali sebagai batu selambut. Permainan ini lebih cenderung kepada kanak-kanak perempuan dan biasanya dimain berkumpulan iaitu dua orang atau lebih. Permainan ini menggunakan objek seperti guli, ketulan biji getah dan ketulan batu kerikil. Objek ini dikenali sebagai buah.

Batu seremban selalunya dimain pada waktu lapang  di serambi rumah, di dalam rumah atau di mana sahaja mereka mahu dengan memerlukan permukaan lantai yang rata. Pemain juga harus duduk diatas lantai supaya ia lebih senang dimainkan. Dalam permainan Batu Seremban, Terdapat beberapa peringkat atau cara sambutan buah yang berlainan. Permainan ini akan bermula dengan peringkat pertama yang mudah, di mana sebiji buah yang dinamakan buah satu digunakan, sehingga ke peringkat yang lebih sukar atau peringkat yang teratas dinamakan buah tujuh.

Namun, terdapat perubahan bagi penggunaan objek tetapi cara permainan masih lagi sama. Jika dahulu menggunakan batu kerikil, bijih getah atau sebagainya, tetapi sekarang menggunakan kacang, beras atau sebagainya yang telah dibungkus menjadi uncang. Hal ini kerana, biji getah atau batu kerikil sukar untuk didapati. Jadi mereka mentranformsikan bagi memudahkan permainan supaya tidak dilupakan dari zaman ke zaman.




Berikut merupakan gambaran batu seremban yang telah ditranformasikan. Di samping itu, jika kita menggunakan batu kerikil mungkin akan mencederakan tangan kita. Jadi, jika kita menggunakan batu seremban seperti ini ia tidak akan mengakibatkan kecederaan. Diharapkan perkongsian ini bermanfaat kepada semua dan selamat mencuba !

Sekian,

Saturday 29 October 2016

BBK 3410 ; ADAT PERPATIH DI NEGERI SEMBILAN





Negeri Sembilan merupakan sebuah negeri yang mempunyai adat, kebudayaan dan tradisi yang sangat kuat dan unik. Peribahasa " biar mati anak, jangan mati adat " telah menjadi pegangan hidup rakyat di Negeri Sembilan. Adat perpatih telah wujud lama  serta kekal menjadi adat yang unik sehingga kini. Ia amat jelas diterangkan melalui pembahagian harta pusaka, gelaran dan juga suku memihak kepada kaum wanita.

Menurut sejarah, rombongan awal yang datang terdiri daripada kaum lelaki, tetapi susurgalur keturunan seseorang itu adalah " mengikut perut " iaitu tertakluk kepada suku ibunya. Masyarakat Negeri Sembilan terpecah kepada 12 kumpulan yang dikenali sebagai " suku ".

Sistem ini tidak terdapat di negeri-negeri lain di Malaysia. Oleh sebab itu, ia merupakan undang-undang atau peraturan dalam masyarakat melayu di Negeri Sembilan. Adat perpatih yang diwarisi masih dipertahankan oleh masyarakat Negeri Sembilan kerana adat itu boleh menerima perubahan dari masa ke semasa. Ini boleh dilihat melalui sistem Yamtuan Besar dan Dato'- Dato Undang masih meneruskan kelangsungan tanpa digugat .

Selain itu, upacara nikah kahwin, kenduri dan sebagainya mempunyai ciri-ciri tradisi yang unik. Masyarakat Melayu Negeri Sembilan dikategorikan mengikut nenek moyang mereka dan dikenali sebagai suku. Suku dalam pengertian adat ialah anggota masyarakat yang terbentuk daripada kelompok keturunan ibunya. Terdapat 12 suku iaitu:

 1.  Biduanda
 2.  Batu Hampar
 3.  Mungkal
 4.  Sri Lemak
 5.  Paya Kumboh
 6.  Tiga Nenek
 7.  Sri Melenggang
 8.  Batu Belang
 9.  Tanah Datar
10. Anak Acheh
11. Anak Melaka
12. Tiga Batu

Pepatah ' biar mati anak. jangan mati adat " yang menjadi pegangan asas sistem hidup bermasyarakat dalam Adat Perpatih ini sering disalah erti bukan sahaja orang biasa tetapi juga pemimpin Melayu. Hal ini berlaku kerana mereka kurang memahami maksud sebenarnya yang dikatakan mengenai adat tersebut. Setakat ini perkongsian saya. Terima kasih.

Friday 28 October 2016

BBK 3410 ; ISU-ISU SEMASA






Apa yang ada dengan jenama? Pengaruh jenama memainkan peranan penting dalam perbelanjaan harian, apatah lagi remaja ataupun pelajar yang mudah terpengaruh dengan gaya yang terkini. Gen Y dilabel lebih mudah terpengaruh dengan penggunaan jenama. Bagi mereka, menyarungkan produk yang berjenama mampu tingkatkan keyakinan dalam penampilan harian.

Golongan ini juga akan berusaha untuk mendapatkan produk terbaru keluaran jenama popular yang berada di pasaran. Kemahuan ini ada kalanya tidak dapat dihalang dan akan manjadi punca utama bagi mereka yang tidak mempunyai pendapatan sendiri. Setelah mereka berusaha mendapatkannya dan ia akan menjadi ikutan ramai. Maka akan terbentuklah budaya mengagung-agungkan jenama tersebut.

Rangkaian barangan berjenama remaja zaman sekarang bukan tertumpu hanya pada pakaian dan kasut tetapi dengan kemajuan teknologi seperti telefon pintar, laptop dan banyak lagi.  Kemajuan teknologi ini akan menyebabkan produk yang mendapat permintaan tinggi terutama daripada kalangan anak muda. Antara produk atau gajet yang menjadi kegilaan remaja zaman sekarang ialah Apple, Samsung dan HTC. Walaupun terdapat jenama yang mengeluarkan produk yang hampir sama tetapi mereka tetap memilih jenama yang harganya mahal.

Ada diantara remaja yang sanggup mengikat perut hanya semata-mata untuk memilik barang yang berjenama tanpa mementingkan kesihatan. Mereka lebih mementingkan gaya sehinggakan sangup berlapar. Jika sifat ini dijadikan obsesi, ia bukanlah tabiat yang sihat. Walau banyak mana pun pendapatan, perlu diseimbangkan apatah lagi membabitkan hobi membeli-belah. Jika tidak dikawal pasti ada risikonya. Jadi sedarlah sebelum terlambat.

Sekian,


Wednesday 26 October 2016

BBK 3410 ; MASAK LOMAK CILI API




Entri kali ini mengenai masakan tradisional di Negeri Sembilan iaitu masak lemak cili api. Namun, orang di Negeri Sembilan menyebut sebagai " masak lomak cili api ". Masak lemak cili api ini mempunyai pelbagai jenis bahan utama seperti ayam, daging yang disalai, ikan keli dan banyak lagi. Masakan ini merupakan menu utama masyarakat di Negeri Sembilan.

Berikut merupakan gambaran masak lemak cili api berasaskan ayam. Masak lemak cili api merupakan antara makanan kegemaran masyarakat di Negeri Sembilan. Bagi sesiapa yang ingin cuba masakan ini, pastikan anda seorang pengemar makanan pedas. Berikut adalah bahan-bahan dan cara penyediaanya ;

Bahan-bahan:
  • ayam yang siap dibasuh dan ditoskan
  • 15-20 biji cili api - ditumbuk lumat (jumlah cili mengikut kesesuaian kepedasan yang anda minat)
  • 1 inci kunyit hidup - ditumbuk juga bersama cili api
  • 1 batang serai - dititik sahaja
  • 1 keping asam gelugor (asam ni sesuai jika mahu kuah masak lemak ini masam sedikit)
  • 1 helai daun kunyit dihiris
  • 1 kotak santan kara (jika tiada santan yang diperah boleh menggunakan santan kotak)
  • Air 1 cawan
  • Garam secukup rasa

Cara Penyediaan:
  1. Panaskan kuali dengan api yang paling kecil. Masukkan ayam dalam kuali panas (tak perlu minyak). Tujuannya supaya air ayam tu keluar agar nanti kuah lemak tidak rasa hanyir ayam tu. Masukkan sekali cili api dan kunyit hidup yang telah ditumbuk ke dalam kuali dan digaul bersama ayam. Gaul dan panaskan sekejap . Kemudian angkat ayam bersama cili dan serai tadi. ketepikan sementara.
  2. Okay. Fasa ke-2, panaskan santan sahaja dalam periuk. Panaskan dengan api kecil hingga santan menggelegak.
  3. Kemudian masukkan ayam yang telah digaul bersama cili api,kunyit dan serai tadi ke dalam santan atas api kecil tu. Masukkan sedikit air ikut kesesuaian. Kacau - kacau & teruskan mengacau. Jangan bagi santan pecah. Masukkan asam keping (kalau mahu rasa masam-masam. kalau tak masukkan pun masih lagi sedap)
  4. Masukkan garam dan akhir sekali masukkan daun kunyit yang dah dihiris tadi.

Begitulah bahan-bahan dan cara penyediaan masak lemak cili api. Diharapkan berguna bagi sesiapa ingin memasak. Sekian dan selamat mencuba !

Monday 24 October 2016

BBK 3410 ; TRAVELOG PERJALANAN




Dahulu Universiti Putra Malaysia merupakan salah satu pusat pembelajaran yang saya ingin pergi. Dulu menjadi angan-angan dan impian. Namun sekarang menjadi realiti. Alhamdulilah, saya tidak menyangka akan melanjutkan pelajaran di sini. Dengan berkat dan kesabaran saya akhirnya ia menjadi realiti. Saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana telah mendengar doa saya untuk melanjutkan pembelajaran saya disini.

Pertama kali saya mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran disini saya bagaikan tidak percaya. Namun, saya bersyukur kerana saya dapat melanjutkan pelajaran serta mempunyai peluang untuk membanggakan keluarga saya. Segala persiapan saya untuk melanjutkan pelajaran saya lakukan dengan bantuan keluarga. Ibu saya merupakan salah seorang insan yang paling bahagia bila mendapat tahu saya akan melanjutkan pelajaran.

Perjalanan  saya untuk ke UPM berjalan lancar dan saya bersyukur tiada halangan yang menganggu perjalanan saya. Ibu dahulu pernah menetap di UPM jadi ibu saya tahu serba sedikit laluan untuk ke UPM. Jadi ia tidak menjadi masalah buat kami untuk meneruskan perjalanan. Perjalanan kami hanya memakan masa sekitar 2 jam. Jadi ia merupakan perjalanan yang tidak begitu memenatkan.

Setibanya di UPM saya seakan terpukau akan keindahan dan kehijauan UPM. UPM merupakan universiti pertanian jadi tanaman hijau merupakan tarikan utama di UPM. Saya begitu gembira  dan teruja untuk meneruskan kehidupan di UPM kelak kerana saya mempunyai sesi pembelajaran selama 3 tahun di UPM. Semoga saya dapat menghabiskan pembelajaran Ijazah Sarjanamuda kelas pertama di sini.

" Terima Kasih Allah"