Wednesday 21 December 2016

BBK 3410 ; CATATAN TERAKHIR BUATMU


Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Ini merupakan catatan terakhir saya bagi blog BBK3410. Gambar diatas merupakan gambar yang telah diambil buat kali terakhir serta kelas yag terakhir pada semester ini. Diharapkan juga bukan pertemuan yang terakhir buat kita semua. Semoga kita bersama-sama dipanjangkan umur dan murah rezeki hendaknya.

Di kesempatan terakhir juga saya ingin berkongsi mengenai travelog perjalanan saya sewaktu mengikuti kelas Penglahiran Bakat Kreatif bersama Prof. Madya Dr Kamariah binti Kamarudin. Walaupun saya merupakan pelajar ambilan kedua bagi sesi 2016/2017, saya bersyukur kerana mendapat tempat untuk belajar di kelas Dr. Jika dahulu saya tidak kenal siapa itu Dr Kamariah kini saya telah mengenali beliau.

Beliau merupakan warga pendidikan yang begitu menyayangi pelajarnya serta mengambil berat terhadap pelajarnya. Beliau juga umpama ibu yang menyayangi anak-anaknya. Sungguh saya bersyukur selepas mendapat didikan daripada beliau. Dr Kamariah seorang yang tegas namun masih mempunyai sikap yang penyayang. Saya begitu menyenangi beliau jika berada di dalam kelas.

Pelbagai kenangan yang telah tercipta sewaktu mengikuti kelas Dr & tidak mungkin saya mudah untuk melupakan. Terima kasih buat Prof Madya Dr Kamariah binti Kamarudin. Semoga dimurahkan rezeki serta tidak lupa untuk mendoakan kami yang akan menduduki "final" tidak lama lagi.

Terima kasih,
Terima kasih,
Terima kasih untuk segalanya....

Sekian,

Friday 9 December 2016

BBK 3410 ; PEMENTASAN DRAMA "OH SAAT"



Assalamualaikum, kami telah diberi tugasan untuk melakukan pementasan drama pada minggu ke-13 oleh Dr Kamariah. Pada awal proses sebelum melaksanakan pementasan ini, kami telah dibahagikan tugas masing-masing. Jawatan yang terdapat dalam pementasan drama ini adalah pengarah, pembantu pengarah, pelakon dan banyak lagi. Kami diberi kuasa untuk memilih tugas masing-masing dan saya memilih untuk mengambil peranan sebagai pembantu pelakon. Gambar diatas merupakan barisan pelakon yang telah menjalankan tanggungjawab mereka sewaktu pementasan berlangsung.

Tambahan lagi, kami juga diberi tempoh 2 minggu untuk berlatih mengenai pementasan drama ini. Pelbagai cabaran dan dugaan yang telah kami harungi bersama-sama sebagai pasukan yang akan melaksanakan pementasan ini. Kami berusaha sehabis baik bersengkang mata menjalani latihan sehingga lewat pagi. Kami juga berkerja keras bagi menjayakan segala watak dan peranan yang telah dibahagikan masing-masing pada awal pembikinan drama ini.

Walaupun, pada awalnya kami melakukan ini demi mendapat markah tetapi pada akhirnya kami melakukan untuk menimba pengalaman yang tidak ada harganya. Biarpun saya hanya memegang sebagai waktu pembantu pelakon, namun saya tetap berasa pengalaman ini sebagai pengalaman yang mungkin tidak dapat saya lupakan dalam hidup saya. Di samping itu, dapat mengeratkan ukhwah sesama rakan sekelas serta mengenali mereka dengan lebih mendalam.

Diharapkan sesiapa yang menyaksikan pementasan drama ini terhibur dan pada minggu ini juga merupakan minggu terakhir bagi kursus penglahiran bakat kreatif. Terima kasih untuk segala tunjuk ajar dan bimbingan pensyarah iaitu Prof Madya Dr Kamariah binti Kamarudin. Sesungguhnya segala pembelajaran bersama beliau dapat dimanfaatkan pada peperiksaan akhir yang bakal tiba tidak lama lagi. Saya berasa sungguh sedih untuk meninggalkan kelas ini. Namun, perjuangan masih perlu diteruskan dan semoga saya dapat mempraktikan ilmu ini sepanjang hidup saya.

Sekian,



Friday 2 December 2016

BBK 3410 ; PERALIHAN KELAS


Assalamualaikum, entri kali ini berkisarkan mengenai kelas peralihan saya iaitu selepas kelas peralihan Dr Alis Azhan kepada kelas Dr Zul. Pada awalnya saya tidak begitu mengenali siapakah beliau? Berikutan dari kumpulan lain sememangnya saya tidak mengenali siapakah Dr Zul. Namun, selepas mengikuti kelas peralihan barulah saya tahu siapakah Dr Zul.

Permulaan kelas kami bermula dengan pembacaan 'slides' yang dibuat oleh beliau. Kami dipanggil secara 'serkap jarang' oleh beliau. Seorang-seorang pelajar dipanggil ke hadapan bagi sesiapa yang dipilih olehnya. Namun, saya bukanlah salah seorang pelajar yang dipilih untuk membaca 'slides' dihadapan. Beliau melakukan pengajaran melalui pembacaan 'slides' oleh kami pelajar.Kemudian, setelah pembacaan 'slides' itu selesai kami diarahkan supaya membentuk 4 hingga 5 orang untuk membuat satu kumpulan.

Pada awalnya, saya tidak mengetahui tujuan sebenarnya beliau menyuruh kami membentuk kumpulan. Sebenarnya, beliau menyuruh kami untuk melakonkan drama menggunakan skrip drama yang telah disediakan. Saya begitu teruja untuk melakukan tugasan itu kerana saya belum pernah melakukan tugasan sedemikian. Jujur sebagai permulaan saya masih berasa malu untuk melakonkan drama tetapi saya tetap melakukannya dengan niat untuk belajar dan mendapatkan ilmu baharu.

Kumpulan kami diberi skrip bagi drama 'Puteri Gunung Ledang' dan saya memegang watak sebagai bendahara. Tambahan pula, kami merupakan kumpulan pertama yang akan melakonkannya dihadapan. Saya berasa begitu seronok serta rasa malu itu hanya permulaan kerana setelah melakonkannya dihadapan saya sudak tidak berasa malu untuk melakukan adegan-adegan yang perlu dilakonkan.

Sesungguhnya, pertukaran kelas ini membantu saya untuk lebih mengenali apa itu kursus Penglahiran Bakat Kreatif. Terima kasih kepada Dr Alis Azhan serta Dr Zul kerana telah mengenalkan pembelajaran baru kepada saya di samping pembelajaran di kelas Dr Kamariah.

Sekian,

Friday 25 November 2016

BBK 3410 ; SYURGA KASIH DI KAKI PELANGI



Sewaktu peralihan kelas pada minggu ke-11 iaitu kelas Dr Alis Azhan. Beliau juga merupakan penulis novel "Syurga Kasih di Kaki Pelangi". Semasa mengikuti kelas pembelajaran oleh beliau, banyak ilmu yang dicurahkan kepada kami. Dr Alis Azhan juga mencerita serta memberi tunjuk ajar bagi pembikinan novel. Beliau menunjukkan juga koleksi-koleksi novel yang beliau tulis dari awal beliau berkarya sehingga harini. Saya begitu teruja dan bersemangat sewaktu pembelajaran di kelas Dr Alis Azhan.

Tambahan lagi, saya merupakan peminat novel. Selepas mengikuti kelas Dr Alis Azhan keinginan saya untuk mencari dan membaca novel beliau begitu tinggi. Dr menceritakan bahwa beliau mendapat ilham menulis novel ini daripada seorang kenalan beliau sewaktu melakukan latihan industri di sebuah sekolah. Kenalannya menyuruh untuk memenuhi impian seorang pelajar di sekolah itu yang perwatakannya seorang perempuan bohsia. Pada awalnya, begitu berat untuk beliau untuk mengikuti hasrat kenalannya itu.

Namun, lama kelamaan setelah dipujuk dan berasa tertarik setelah mendengar cerita kenalannya itu, beliau berhasrat untuk menulis novel mengenai budak perempuan itu. Dr Alis Azhan memberitahu yang di pernah terjumpa budak perempuan itu hanya sekali sahaja. Dari sehari ke sehari beliau terus mendapatkan ilham untuk berkarya di dalam novel ini. Akhirnya, novel ini telah pun siap dibukukan. Beliau memberitahu kenalannya itu bahawa dia telah berjaya memenuhi hasrat budak perempuan itu di dalam novel ini.

Dan hanya ini sahaja beliau mampu membantu budak perempuan untuk memenuhi hasrat sebenar dalam kehidupannya. Saya begitu tertarik mengenai cerita beliau dan berasa ingin mengenali siapakah budak perempuan di dalam novel ini? Tidak dilupakan juga kepada Dr Alis Azhan saya mendoakan juga supaya budak perempuan itu akan menemui Dr serta mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana telah memenuhi hasrat beliau melalui novel ini. Ameen, ya Rabb.

Sekian,

Friday 11 November 2016

BBK 3410 ; PENGHANTARAN TUGASAN




Minggu ke-10 merupakan minggu penghantaran tugasan iaitu cerpen dan sajak. Namun, terdapat juga rakan sekelas yang membuat novel atau skrip drama. Saya ingin membuat cerpen dan sajak kerana saya mempunyai cerita pendek yang saya ingin kongsikan melalui pembuatan cerpen dan sajak. Cerpen saya mengisahkan mengenai pengalaman hidup saya sendiri iaitu mengenai arwah ayah saya semasa saat-saat akhir hayatnya. Ayah saya yang sudah kembali ke rahmatullah sejak 2 tahun lepas. Inspirasi saya dicurahkan di dalam cerpen itu.

Tugasan saya telah pun dihantar dan berharap dapat menambat hati sesiapa yang membacanya. Diharapkan juga dengan adanya markah tugasan ini dapat membantu saya dalam kursus penglahiran bakat kreatif ini. Kisah cerpen itu merupakan kisah yang diadaptasi dari kisah benar hidup saya. Luahan hati saya sebagai seorang anak yang begitu merindui ayahnya yang telah meninggal dunia serta meninggalkan segala kenangan yang tidak ternilai untuk diungkapkan dengan kata.

Segala tunjuk ajar dr mengenai pembuatan cerpen dan sajak juga saya praktikkan semasa pembikinan cerpen. Nota-nota di dalam putrablast saya baca sebagai panduan saya untuk membuat cerpen. Semoga cerpen dan sajak yang saya hantar dapat menambat hati dr. Terima kasih kerana berkongsi ilmu.

Sekian,






Friday 4 November 2016

BBK3410 ; PAKAIAN TRADISIONAL NEGERI SEMBILAN

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Entri kali ini saya ingin berkongsi mengenai pakaian tradisional Negeri Sembilan. Seperti yang sudah kita maklum bahawa setiap negeri mempunyai pakai tradisional mereka sendiri. Jadi, pada entri kali ini saya ingin berkongsi mengenai pakaian negeri kelahiran saya iaitu Negeri Sembilan.


Gambar diatas merupakan contoh gambaran bagi masyarakat minang di Negeri Sembilan.  Budaya Minangkabau terserlah indah pada busana tradisional Negeri Sembilan. Orang Minangkabau merupakanpenduduk asal kawasan yang kini dikenali sebagai Sumatra Barat di Indonesia. Orang Melayu di Negeri Sembilan banyak yang berasal dari Minangkabau, merekaterutamanya mendiami Negeri Sembilan dan Johor. 

Pakaian lelaki pula menyerupai Baju Sikap yang dipakai sebagai sut berlima mengandungi baju atau jaket sederhana labuh, baju di dalam, berseluar dipadan dengan samping dihias pula dengan tengkolok. Kaum wanita pula berbaju kurung Teluk Belanga dan berkebaya labuh dipadan dengan kain sarung. Bagi wanita bangsawan berketurunan Minagkabau pula, pakaiannya dari kain baldu bersulam benang emas bertakhtakan labuci. Sarungnya pula dari kain songket penuh tenun dari Pandai Sikek atau dari Batu Bara di Sumatera.                                        
Itulah sedikit sebanyak perkongsian dari saya. Diharapkan segala perkongsian ini bermanfaat untuk semua.

Sekian,

Sunday 30 October 2016

BBK 3410 ; BATU SEREMBAN



Assalamualaikum, penulisan kali ini adalah mengenai permainan tradisional di Negeri Sembilan. Memandangkan saya yang berasal dari Negeri Sembilan, jadi saya ingin bercerita mengenai batu seremban. Pada asalnya batu serembat ini dikenali sebagai batu selambut. Permainan ini lebih cenderung kepada kanak-kanak perempuan dan biasanya dimain berkumpulan iaitu dua orang atau lebih. Permainan ini menggunakan objek seperti guli, ketulan biji getah dan ketulan batu kerikil. Objek ini dikenali sebagai buah.

Batu seremban selalunya dimain pada waktu lapang  di serambi rumah, di dalam rumah atau di mana sahaja mereka mahu dengan memerlukan permukaan lantai yang rata. Pemain juga harus duduk diatas lantai supaya ia lebih senang dimainkan. Dalam permainan Batu Seremban, Terdapat beberapa peringkat atau cara sambutan buah yang berlainan. Permainan ini akan bermula dengan peringkat pertama yang mudah, di mana sebiji buah yang dinamakan buah satu digunakan, sehingga ke peringkat yang lebih sukar atau peringkat yang teratas dinamakan buah tujuh.

Namun, terdapat perubahan bagi penggunaan objek tetapi cara permainan masih lagi sama. Jika dahulu menggunakan batu kerikil, bijih getah atau sebagainya, tetapi sekarang menggunakan kacang, beras atau sebagainya yang telah dibungkus menjadi uncang. Hal ini kerana, biji getah atau batu kerikil sukar untuk didapati. Jadi mereka mentranformsikan bagi memudahkan permainan supaya tidak dilupakan dari zaman ke zaman.




Berikut merupakan gambaran batu seremban yang telah ditranformasikan. Di samping itu, jika kita menggunakan batu kerikil mungkin akan mencederakan tangan kita. Jadi, jika kita menggunakan batu seremban seperti ini ia tidak akan mengakibatkan kecederaan. Diharapkan perkongsian ini bermanfaat kepada semua dan selamat mencuba !

Sekian,

Saturday 29 October 2016

BBK 3410 ; ADAT PERPATIH DI NEGERI SEMBILAN





Negeri Sembilan merupakan sebuah negeri yang mempunyai adat, kebudayaan dan tradisi yang sangat kuat dan unik. Peribahasa " biar mati anak, jangan mati adat " telah menjadi pegangan hidup rakyat di Negeri Sembilan. Adat perpatih telah wujud lama  serta kekal menjadi adat yang unik sehingga kini. Ia amat jelas diterangkan melalui pembahagian harta pusaka, gelaran dan juga suku memihak kepada kaum wanita.

Menurut sejarah, rombongan awal yang datang terdiri daripada kaum lelaki, tetapi susurgalur keturunan seseorang itu adalah " mengikut perut " iaitu tertakluk kepada suku ibunya. Masyarakat Negeri Sembilan terpecah kepada 12 kumpulan yang dikenali sebagai " suku ".

Sistem ini tidak terdapat di negeri-negeri lain di Malaysia. Oleh sebab itu, ia merupakan undang-undang atau peraturan dalam masyarakat melayu di Negeri Sembilan. Adat perpatih yang diwarisi masih dipertahankan oleh masyarakat Negeri Sembilan kerana adat itu boleh menerima perubahan dari masa ke semasa. Ini boleh dilihat melalui sistem Yamtuan Besar dan Dato'- Dato Undang masih meneruskan kelangsungan tanpa digugat .

Selain itu, upacara nikah kahwin, kenduri dan sebagainya mempunyai ciri-ciri tradisi yang unik. Masyarakat Melayu Negeri Sembilan dikategorikan mengikut nenek moyang mereka dan dikenali sebagai suku. Suku dalam pengertian adat ialah anggota masyarakat yang terbentuk daripada kelompok keturunan ibunya. Terdapat 12 suku iaitu:

 1.  Biduanda
 2.  Batu Hampar
 3.  Mungkal
 4.  Sri Lemak
 5.  Paya Kumboh
 6.  Tiga Nenek
 7.  Sri Melenggang
 8.  Batu Belang
 9.  Tanah Datar
10. Anak Acheh
11. Anak Melaka
12. Tiga Batu

Pepatah ' biar mati anak. jangan mati adat " yang menjadi pegangan asas sistem hidup bermasyarakat dalam Adat Perpatih ini sering disalah erti bukan sahaja orang biasa tetapi juga pemimpin Melayu. Hal ini berlaku kerana mereka kurang memahami maksud sebenarnya yang dikatakan mengenai adat tersebut. Setakat ini perkongsian saya. Terima kasih.

Friday 28 October 2016

BBK 3410 ; ISU-ISU SEMASA






Apa yang ada dengan jenama? Pengaruh jenama memainkan peranan penting dalam perbelanjaan harian, apatah lagi remaja ataupun pelajar yang mudah terpengaruh dengan gaya yang terkini. Gen Y dilabel lebih mudah terpengaruh dengan penggunaan jenama. Bagi mereka, menyarungkan produk yang berjenama mampu tingkatkan keyakinan dalam penampilan harian.

Golongan ini juga akan berusaha untuk mendapatkan produk terbaru keluaran jenama popular yang berada di pasaran. Kemahuan ini ada kalanya tidak dapat dihalang dan akan manjadi punca utama bagi mereka yang tidak mempunyai pendapatan sendiri. Setelah mereka berusaha mendapatkannya dan ia akan menjadi ikutan ramai. Maka akan terbentuklah budaya mengagung-agungkan jenama tersebut.

Rangkaian barangan berjenama remaja zaman sekarang bukan tertumpu hanya pada pakaian dan kasut tetapi dengan kemajuan teknologi seperti telefon pintar, laptop dan banyak lagi.  Kemajuan teknologi ini akan menyebabkan produk yang mendapat permintaan tinggi terutama daripada kalangan anak muda. Antara produk atau gajet yang menjadi kegilaan remaja zaman sekarang ialah Apple, Samsung dan HTC. Walaupun terdapat jenama yang mengeluarkan produk yang hampir sama tetapi mereka tetap memilih jenama yang harganya mahal.

Ada diantara remaja yang sanggup mengikat perut hanya semata-mata untuk memilik barang yang berjenama tanpa mementingkan kesihatan. Mereka lebih mementingkan gaya sehinggakan sangup berlapar. Jika sifat ini dijadikan obsesi, ia bukanlah tabiat yang sihat. Walau banyak mana pun pendapatan, perlu diseimbangkan apatah lagi membabitkan hobi membeli-belah. Jika tidak dikawal pasti ada risikonya. Jadi sedarlah sebelum terlambat.

Sekian,


Wednesday 26 October 2016

BBK 3410 ; MASAK LOMAK CILI API




Entri kali ini mengenai masakan tradisional di Negeri Sembilan iaitu masak lemak cili api. Namun, orang di Negeri Sembilan menyebut sebagai " masak lomak cili api ". Masak lemak cili api ini mempunyai pelbagai jenis bahan utama seperti ayam, daging yang disalai, ikan keli dan banyak lagi. Masakan ini merupakan menu utama masyarakat di Negeri Sembilan.

Berikut merupakan gambaran masak lemak cili api berasaskan ayam. Masak lemak cili api merupakan antara makanan kegemaran masyarakat di Negeri Sembilan. Bagi sesiapa yang ingin cuba masakan ini, pastikan anda seorang pengemar makanan pedas. Berikut adalah bahan-bahan dan cara penyediaanya ;

Bahan-bahan:
  • ayam yang siap dibasuh dan ditoskan
  • 15-20 biji cili api - ditumbuk lumat (jumlah cili mengikut kesesuaian kepedasan yang anda minat)
  • 1 inci kunyit hidup - ditumbuk juga bersama cili api
  • 1 batang serai - dititik sahaja
  • 1 keping asam gelugor (asam ni sesuai jika mahu kuah masak lemak ini masam sedikit)
  • 1 helai daun kunyit dihiris
  • 1 kotak santan kara (jika tiada santan yang diperah boleh menggunakan santan kotak)
  • Air 1 cawan
  • Garam secukup rasa

Cara Penyediaan:
  1. Panaskan kuali dengan api yang paling kecil. Masukkan ayam dalam kuali panas (tak perlu minyak). Tujuannya supaya air ayam tu keluar agar nanti kuah lemak tidak rasa hanyir ayam tu. Masukkan sekali cili api dan kunyit hidup yang telah ditumbuk ke dalam kuali dan digaul bersama ayam. Gaul dan panaskan sekejap . Kemudian angkat ayam bersama cili dan serai tadi. ketepikan sementara.
  2. Okay. Fasa ke-2, panaskan santan sahaja dalam periuk. Panaskan dengan api kecil hingga santan menggelegak.
  3. Kemudian masukkan ayam yang telah digaul bersama cili api,kunyit dan serai tadi ke dalam santan atas api kecil tu. Masukkan sedikit air ikut kesesuaian. Kacau - kacau & teruskan mengacau. Jangan bagi santan pecah. Masukkan asam keping (kalau mahu rasa masam-masam. kalau tak masukkan pun masih lagi sedap)
  4. Masukkan garam dan akhir sekali masukkan daun kunyit yang dah dihiris tadi.

Begitulah bahan-bahan dan cara penyediaan masak lemak cili api. Diharapkan berguna bagi sesiapa ingin memasak. Sekian dan selamat mencuba !

Monday 24 October 2016

BBK 3410 ; TRAVELOG PERJALANAN




Dahulu Universiti Putra Malaysia merupakan salah satu pusat pembelajaran yang saya ingin pergi. Dulu menjadi angan-angan dan impian. Namun sekarang menjadi realiti. Alhamdulilah, saya tidak menyangka akan melanjutkan pelajaran di sini. Dengan berkat dan kesabaran saya akhirnya ia menjadi realiti. Saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana telah mendengar doa saya untuk melanjutkan pembelajaran saya disini.

Pertama kali saya mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran disini saya bagaikan tidak percaya. Namun, saya bersyukur kerana saya dapat melanjutkan pelajaran serta mempunyai peluang untuk membanggakan keluarga saya. Segala persiapan saya untuk melanjutkan pelajaran saya lakukan dengan bantuan keluarga. Ibu saya merupakan salah seorang insan yang paling bahagia bila mendapat tahu saya akan melanjutkan pelajaran.

Perjalanan  saya untuk ke UPM berjalan lancar dan saya bersyukur tiada halangan yang menganggu perjalanan saya. Ibu dahulu pernah menetap di UPM jadi ibu saya tahu serba sedikit laluan untuk ke UPM. Jadi ia tidak menjadi masalah buat kami untuk meneruskan perjalanan. Perjalanan kami hanya memakan masa sekitar 2 jam. Jadi ia merupakan perjalanan yang tidak begitu memenatkan.

Setibanya di UPM saya seakan terpukau akan keindahan dan kehijauan UPM. UPM merupakan universiti pertanian jadi tanaman hijau merupakan tarikan utama di UPM. Saya begitu gembira  dan teruja untuk meneruskan kehidupan di UPM kelak kerana saya mempunyai sesi pembelajaran selama 3 tahun di UPM. Semoga saya dapat menghabiskan pembelajaran Ijazah Sarjanamuda kelas pertama di sini.

" Terima Kasih Allah"



Friday 30 September 2016

BBK3410; PROF MADYA DR. ARBAK OTHMAN


" Kesabaran amat diperlukan untuk berkarya "

Begitulah yang diungkapkan oleh Prof. Madya Dr. Arbak Othman untuk berkarya. Kami telah menemuramah beliau untuk mendekati  lebih lanjut serta mendalami pengalaman beliau dalam dunia kesusasteraan Melayu.



Prof. Madya Dr. Arbak Othamn dilahirkan pada 10.2.1944 di Kampung Sebatu, Melaka, Malaysia. Beliau mula berkecimpung dalam dunia puisi sajak sejak dari bangku sekolah menengah lagi. Beliau melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya pada tahun1970. Beliau telah memenangi banyak anugerah sastera. Tambahan lagi, Dr. Arbak Othamn telah dinobatkan sebagai " Doctor of Literature "   di Festival Penyair Sedunia pada 25 Oktober 2013 di Pangkor, Perak Darul Aman.

Beliau seorang yang terlalu rendah diri kerana pada awalnya beliau tidak berapa setuju untuk ditemu ramah kerana beliau sudah terlalu lama tidak berkarya. Beliau juga seorang tokoh yang sangat memberi inspirasi. Selain itu, beliau tidak bakhil untuk berkongsi ilmu mengenai karya sastera. Beliau gemar memberi ilmu dan tunjuk ajar kepada generasi baru seperti kami.

Akhir sekali, selepas menemu ramah beliau kami mendapat pelbagai ilmu yang bermanfaat untuk kami meneruskan tugasan seterusnya. Kami begitu teruja untuk terus menulis dan berkarya selepas mendapat gambaran yang terlalu indah buat kami untuk terus berkarya. Diharapkan kami juga terus menerokai dan mendalami dunia sastera kelak.

Sekian,


Monday 26 September 2016

BBK 3410 ; DUNIA KESUSASTERAAN MELAYU



Assalamualaikum dan salam sejahtera. Entri pada kali ini adalah mengenai pandangan terhadap dunia kesusasteraan Melayu. Jika kita dapat lihat, zaman sekarang dunia semakin berkembang pesat dengan perkembangan teknologi, pendidikan dan sebagainya. Pelbagai kemajuan telah dilakukan dari masa ke semasa. Tidak kiralah dari pelbagai aspek dan cabang sesuatu perkara. Kita dapat lihat banyak perubahan telah dilakukan. 

Namun, terdapat pelbagai kesan dan kebaikan terhadap perubahan yang telah dilakuakan. Tambahan lagi, kita sebaga rakyat Malaysia dimana darah kita mengalirnya di sini, kita harus memartabatkan juga bahasa serta dunia kesusasteraan Melayu. Sebagai contoh, kita mengambil bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kita. Kita harus memartabatkan lagi bahasa Melayu kita di dalam dunia sastera.

Memang tidak dinafikan kita harus mempelajari bahasa Inggeris tetapi jangan dilupakan tentang bahasa kebangsaan kita iaitu bahasa Melayu. Walaupun, dunia kesusasteraan Melayu bukanlah penyumbang utama sesebuah negara tetapi kita perlu mengambil berat terhadapnya terutama kita sebagai rakyat Malaysia. Setakat ini sahaja pandangan saya terhadap dunia kesusasteraan Melayu.

Sekian,


Friday 23 September 2016

BBK 3410 ; PENGLAHIRAN BAKAT KREATIF




Assalamualaikum Prof Madya Dr Kamariah binti Kamarudin.

Maafkan saya di atas kelewatan saya menulis entri pada penulisan kali pertama ini. Nama diberi Nor Mas Aida bt Mohd Nasir. Nombor matrik pula 191097. Saya berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Saya merupakan pelajar ambilan kedua bagi tahun pertama sesi 2016/2017.

Sepanjang keberadaan saya di Universiti Putra Malaysia (UPM) saya telah mengikuti pelbagai program yang harus saya duduki untuk proses pembelajaran sepanjang pengajian saya di sini. Salah satu program yang saya ikuti ialah program dr iaitu penglahiran bakat kreatif (BBK3410). Pada awalnya saya tidak begitu memahami mengenai program ini kerana saya tidak didedahkan mengenai program-program pengajian di UPM ini. Setelah beberapa minggu dan ketika saya mengikuti kelas pembelajaran yang dr ajar, saya sudah mula berjinak ingin mengetahui lebih dalam mengenai program ini.

Tambahan lagi, saya begitu tertarik untuk belajar dengan lebih mendalam mengenai program. Setiap kali tibanya waktu kelas puan, saya akan sampai awal ke kelas dan akan menumpukan segala perhatian saya sepanjang program ini berlangsung. Saya juga akan menyiapkan tugasan yang diberi berpandukan arahan yang betul. Pengajaran dan pembelajaran dilakukan oleh puan amat membantu saya dalam mendalami dan memahami saya dalam program ini.

Akhir sekali saya berharap saya  dapat mendalami dan menyukai program ini serta ingin mendapat keputusan yang cemerlang bagi program dr .Dengan berkat kesabaran dan kesungguhan dr memberi tunjuk ajar kepada saya, saya akan cuba melakukan yang terbaik bagi program dr serta program yang lain.

Saya beranggapan coretan saya sampai disini dahulu. Sehingga berjumpa lagi, insha Allah. Terima kasih kerana sudi membaca dr.

Sekian,